Search SYABAS  

STATUS TERKINI KEADAAN BEKALAN AIR DI NEGERI SELANGOR, KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA BERIKUTAN PERMINTAAN AIR MELEBIHI PENGELUARAN

PENTING!

KENYATAAN MEDIA

22 Jun 2012

 

PENGGUNA DIGESA MENGURANGKAN PENGGUNAAN AIR

 

Hulu Langat – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin melaporkan keadaan bekalan air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya setakat hari ini berikutan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang telah dikesan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah semenjak 17 Mei 2012 yang lalu.

 

Pihak SYABAS telah mengesan berlaku penyusutan ketara pada paras kolam-kolam simpanan air utama berikutan peningkatan mendadak terhadap penggunaan air oleh para pengguna yang disebabkan cuaca panas dan kering yang melanda kawasan Lembah Klang pada masa ini. Mengikut rekod SYABAS, purata permintaan air pada 17 Mei 2012 hingga 21 Jun 2012 adalah pada kadar 4,329.19 JLH (Juta Liter Sehari) berbanding dengan purata pada tempoh 1 Januari 2012 hingga 16 Mei 2012 iaitu di tahap 4,228.87 JLH. Ini menunjukkan peningkatan permintaan air sebanyak 100.32 JLH (2.37%). Permintaan air sepanjang lima (5) minggu ini juga telah meningkat dengan drastik berbanding purata pengeluaran pada tahun 2011 iaitu 4,142.71 JLH, iaitu peningkatan sebanyak 186.48 MLD (4.50%).

 

Situasi ini telah menyebabkan kesemua Loji Rawatan Air (LRA) khususnya yang telah beroperasi pada tahap maksima atau melepasi kadar rekabentuknya (overload) menghadapi tekanan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Ini adalah kerana jumlah kapasiti bekalan air yang boleh dikeluarkan dan diagihkan dari kesemua 34 loji sedia ada adalah sekitar 4371 JLH sahaja. Ia juga selepas mengambil kira penambahan pengeluaran air bersih dari LRA Sg. Labu (Peringkat 1) yang mula beroperasi pada penghujung Mac 2012. Antara loji-loji yang menghadapi tekanan ialah LRA Sg. Selangor Fasa 2 (SSP2), LRA Sg. Langat, LRA Sg. Semenyih, LRA Sg. Batu dan lain-lain lagi.

 

Peningkatan permintaan air dalam beberapa minggu ini telah mencecah kadar maksima pengeluaran dan menjangkaui kapasiti pengeluaran untuk beberapa hari yang lalu. Bagi menampung kadar penggunaan yang sangat tinggi tersebut, simpanan dari kolam air telah digunakan menyebabkan paras di beberapa kolam air utama mengalami penurunan dan sekaligus menyebabkan tekanan air rendah dan sebahagian kawasan tidak mendapat bekalan air.

 

Keadaan ini jelas dapat dilihat daripada angka permintaan air seperti jadual berikut :-

Jadual 1.0 - Permintaan Air Berbanding Pengeluaran Yang Boleh Diagihkan (Distributable) Dari Semua Loji Rawatan Air

 

Tempoh

Permintaan Air Bersih (JLH)

Pengeluaran Yang Boleh Diagihkan - Distributable (JLH) Dari Semua Loji Rawatan Air

Baki Rezab Bekalan Air Bersih

JLH

%

Jan 2011 -     Dis 2011

4,142.71

(purata)

 

4,326

 

183.29

 

4.24

1 Jan 2012 – 16 Mei 2012

4,228.87

(purata)

4,326

97.13

2.25

17 Mei 2012 – 15 Jun 2012

4,316.69

(purata)

4,371

54.31

1.24

16 Jun 2012

4,407.61

4,371

-36.61*

-0.83

17 Jun 2012

4,409.91

4,371

-38.91*

-0.89

18 Jun 2012

4,388.60

4,371

-17.60*

-0.40

19 Jun 2012

4,385.67

4,371

-14.67*

-0.34

20 Jun 2012

4,380.33

4,371

-9.33*

-0.21

21 Jun 2012

4,378.05

4,371

-7.05*

-0.16

*Bagi menampung kekurangan pengeluaran air dari loji, simpanan dari kolam air utama telah digunakan.

 

Kesan daripada peningkatan permintaan yang mendadak yang melebihi kadar pengeluaran air ini telah menyebabkan beberapa kolam utama menghadapi penurunan paras yang ketara dan tidak mampu untuk meningkatkan paras kolam semula ke paras biasa. Wilayah-wilayah yang awal menerima kesan ialah wilayah Petaling , Klang dan juga Hulu Langat. Kawasan-kawasan yang terlibat adalah seperti di lampiran Jadual A.

 

Memandangkan rezab bekalan air bersih sedia ada yang sangat terhad, ianya mendedahkan kepada risiko ketiadaan bekalan air yang mencukupi apabila permintaan air berada pada tahap puncak (peak demand) seperti yang berlaku beberapa hari yang lalu.

 

Keadaan ini boleh menjadi lebih kritikal sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak dijangka seperti hentitugas loji rawatan air disebabkan kemorosotan kualiti air mentah sungai berikutan kekurangan hujan; masalah pencemaran air mentah di sungai; keperluan penyenggaraan peralatan di loji air dan lain-lain lagi yang berpotensi menjejaskan jumlah pengeluaran air terawat harian. Sekiranya peningkatan permintaan air ini masih berterusan, jumlah kawasan terlibat dengan gangguan air ini dijangka akan menjadi lebih luas dan melibatkan lebih ramai pengguna.

 

Jabatan Meteorologi menjangkakan bahawa Semenanjung Malaysia mengalami musim Monsun Barat Daya (Mei – September) yang secara relatifnya akan menyebabkan musim panas dan kering.

 

Bagi menghadapi musim kering ini, pihak SYABAS telah mengarahkan semua syarikat operator loji rawatan air yang membekalkan air kepada SYABAS untuk mengoperasikan kesemua loji rawatan air pada kadar maksima. Di samping itu SYABAS akan menyusun semula agihan air seberapa yang boleh kepada kawasan-kawasan yang kekurangan bekalan air bagi mengurangkan kesan kepada pengguna. Pihak SYABAS juga akan terus menggesa Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk mengatasi masalah ini dalam jangka masa panjang.

 

Sementara itu  para pengguna dinasihatkan agar mengurangkan penggunaan air dan menggunakannya dengan penuh hemah sepanjang menghadapi cuaca panas dan kering ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin membuat laporan berkaitan bekalan air disaran agar terus menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan SYABAS, iaitu PUSPEL di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau melalui SMS, dengan menaip PUSPEL <jarak><aduan atau pertanyaan> dan hantar ke 39222 supaya tindakan segera diambil oleh SYABAS. Para pengguna juga boleh membuat laporan kepada SYABAS menerusi laman web twitter dan facebook dengan mendaftar di laman web berkenaan.

 

- tamat -

DATO’ RUSLAN HASSAN

Ketua Pegawai Eksekutif

 

 


 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :

ABDUL HALEM HJ MAT SOM 

Pengarah Eksekutif, Hal Ehwal Korporat

Tel     : 03-2088 5400                                   

Fax     : 03-2088 5288

Email  : halem@syabas.com.my

 

 

 

Tuesday, 21 October 2014