Search SYABAS  

STATUS TERKINI PELAN CATUAN BEKALAN AIR NEGERI SELANGOR, KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA

SIARAN SEGERA

02 MAC 2014

 

Kuala Lumpur – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin memaklumkan status terkini Pelan Catuan Bekalan Air kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang sedang dilaksanakan oleh SYABAS di dalam dua peringkat iaitu Peringkat Pertama di beberapa kawasan di daerah Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat bermula pada 27 Februari 2014 sementara Peringkat Kedua di beberapa kawasan di daerah Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor yang bermula pada hari ini, 2 Mac 2014.

 

Bagi Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama yang melibatkan 60,185 pintu rumah di beberapa kawasan di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi disebabkan peningkatan kandungan ammonia di dalam Sungai Langat telah memasuki hari ke empat sejak ianya mula dilaksanakan pada 27 Februari 2014.  Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, perlaksanaan pelan tersebut berjalan dengan lancar sepertimana yang dirancangkan.

 

Sementara itu, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Kedua ekoran penurunan pelepasan air mentah sebanyak 200 Juta Liter Sehari (JLH) dari empangan Sungai Selangor dan menghadkan pengambilan air mentah dari empangan Klang Gates kepada 100 JLH oleh loji-loji rawatan air berkaitan atas arahan Kerajaan Negeri Selangor, ianya telah mula dilaksanakan mulai hari ini, 2 Mac 2014.  Untuk makluman, pelan catuan bekalan air yang melibatkan sejumlah 402,457 pintu rumah di enam (6) daerah ini juga berjalan dengan lancar dan sepertimana yang dirancangkan.

 

Untuk makluman, pelan catuan bekalan air diluluskan untuk dilaksanakan disebabkan kuantiti bekalan air terawat Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada masa ini telah berkurangan sebanyak 300 Juta Liter Sehari.  Oleh yang demikian, para pengguna di kawasan yang terlibat dengan catuan bekalan air diminta agar mengurangkan penggunaan air dan menggunakan air untuk keperluan utama sahaja. Untuk itu, adalah disarankan agar amalan seperti mencuci rumah dan halaman, mencuci kenderaan dan menyiram pokok hiasan wajar ditangguhkan dahulu kecuali benar-benar kritikal. Justeru itu, kerjasama dari para pengguna adalah diharapkan bagi sama-sama merealisasikan amalan ini termasuk ingat memperingatkan antara satu sama lain dan antara jiran tetangga. Pada masa yang sama, para pengguna di kawasan yang tidak terlibat dengan catuan juga disarankan agar menjimatkan penggunaan air dan mengurangkan amalan menggunakan air untuk keperluan kurang utama bagi membantu sasaran pengurangan 300 JLH boleh dicapai.

 

Berhubung dengan maklumat dan infomasi berkaitan Pelan Catuan Bekalan Air berkaitan dengan kawasan terlibat dan jadual catuan, para pengguna disaran dan digalakkan melayari laman web SYABAS (www.syabas.com.my) mendapatkan maklumat tersebut. Dengan kerjasama dari para pengguna ianya akan dapat membantu mengurangkan kesesakan talian Pusat Panggilan SYABAS (PUSPEL) yang kini sedang berhadapan dengan kemasukan jumlah panggilan yang melampaui kapasiti hariannya.

 

- tamat -

 

PRISCILLA ALFRED

Penolong Pengurus Besar,

Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam

 

 

**Para pengguna di seluruh Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mempunyai pertanyaan atau laporan berhubung  bekalan air disaran agar menghubungi talian bebas tol (PUSPEL) di talian 1-800-88-5252 yang beroperasi selama 24 jam sehari atau hantarkan SMS ke 39222 dengan menaip PUSPEL <jarak> aduan/pertanyaan>, atau emel ke puspel@syabas.com.my. Para pengguna juga boleh membuat laporan kepada SYABAS menerusi laman web Twitter dan Facebook dengan mendaftar di laman web berkenaan.

Sunday, 23 November 2014