Search SYABAS  

Air Selangor Mencatat Pengurangan Ketara Dalam Air Tidak Berhasil (NRW) Bagi Tahun 2017

SIARAN MEDIA 

8 JANUARI 2018

 

 

KUALA LUMPUR: Sejak pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor pada bulan Oktober 2015, Kerajaan Negeri Selangor, melalui Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan Air Tidak Berhasil (NRW), iaitu air dirawat yang "hilang" sebelum sampai kepada pengguna.

 

Pada akhir tahun 2015, kadar NRW berada pada 32.6%. Air Selangor mensasarkan untuk mengurangkan kadar ini kepada 31% menjelang akhir tahun 2017. Melalui pelbagai usaha bersepadu oleh Air Selangor, kadar NRW berjaya dikurangkan kepada 30.1% menjelang akhir tahun 2017, melebihi sasaran yang ditetapkan 2 tahun lalu.

 

"Pengurangan ketara dalam kadar NRW daripada 32.6% pada tahun 2015 kepada 30.1% pada tahun 2017 adalah bersamaan dengan penjimatan sebanyak 82 juta liter air sehari, iaitu jumlah air yang hampir sama dengan jumlah air yang dihasilkan oleh Loji Rawatan Air Sg. Labu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman.

 

Air Selangor telah melabur sebanyak RM480 juta dalam projek dan program NRW dalam tempoh 2 tahun yang lalu. Projek-projek ini telah dilaksanakan melalui perancangan yang telah dirangka secara dalaman (in-house) oleh pasukan pakar NRW Air Selangor menggunakan teknologi terkini yang terdapat di pasaran dunia.

 

"Antara teknologi terkini yang digunakan ialah penggunaan alat pengesanan kebocoran berteknologi tinggi dan alat pemantauan dan kawalan tekanan air secara pintar. Air Selangor juga telah membangunkan aplikasi telefon pintar yang digunakan oleh kakitangan kami untuk mencatatkan kebocoran yang kemudiannya dihantar terus ke panel kontraktor kami untuk membaiki kebocoran dengan segera," tambah Suhaimi.

 

Dalam 3 tahun akan datang, Air Selangor merancang untuk melabur lebih dari RM900 juta dalam usahanya untuk mengurangkan lagi kadar NRW. "Dengan tahap pelaburan ini beserta semua kerja dan usaha yang dilakukan oleh tenaga kerja kami, Air Selangor yakin kami boleh mencapai sasaran penurunan kadar NRW kepada 28% menjelang akhir tahun 2020," kata Suhaimi.

 

Mengenai Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd:

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor, adalah penyedia perkhidmatan bekalan air holistik kepada 2 juta pemegang akaun (10 juta pengguna) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Perkhidmatan yang disediakan merangkumi abstraksi dan rawatan air mentah, pengagihan air terawat kepada pengguna, termasuk khidmat pelanggan dan pengebilan. Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) adalah ahli Kumpulan Air Selangor. Hubungi kami di Facebook dan Instagram “airselangor” dan Twitter “air_selangor”, telefon 15300 atau emel:puspel@airselangor.com.